Ilusi Cinta merupakan sebuah cerpen yang hadir tika saya sedang lena tidur..
Mimpi yang membuatkan saya rasa seakan-akan realiti..
Tapi ofkos lah saya ada tambah sedikit sebanyak..
Nak buat sebijik macam dalam mimpi, payah.. haha
Apa pun, selamat membaca...
Entah bila lah lagi saya akan up entry baru..
Enjoy!!
ILUSI CINTA
“Ummi nak Ana kahwin dengan dia!
Muktamad!” Aku memandang ummi dengan riak tidak percaya. Angin tak ada, ribut
tak ada, tiba-tiba kena kahwin! Dengan lelaki yang langsung aku tak kenal pulak
tu!
“Kenapa? Kenapa mesti Ana? Fiza
kan ada! Suruh lah Fiza yang kahwin dengan dia!” Aku cuba membantah. Banyak
perkara lagi yang perlu aku capai sebelum berkahwin. Kalau dah kahwin nanti,
pasti sesetengah impian harus aku kuburkan.
“Fiza tu tak habis belajar pun
lagi! Takkan lah nak suruh kahwin? Kamu biar betul Ana!” Ummi menjegilkan mata.
Aku mengeluh lagi. Lupa pulak adik aku yang seorang tu baru tingkatan 5. Tapi
takkan lah aku kena nikah jugak?
“Ummi, Ana tak sedia lagi! Ana
baru aje 21 tahun. Muda lagi lah!”
“Dah tu nak tunggu umur berapa
baru nak kahwin?” Aku garu pipi. Tak tahu nak bagi alasan apa lagi dah. Nak tak
nak, memang kena redha ajelah! Wajah ummi aku tatap lama. Berat untuk aku
bersetuju. Tapi apa kan daya aku! Mengingkari suruhan ummi bermakna aku
menderhaka kepada ummi.
“Ummi... Ana setuju.. dengan satu
syarat!” Ummi menjungkitkan kening. Aku melepaskan keluhan lemah sebelum
menyatakan syarat yang bakal aku tetapkan.
“Ana tak nak bersanding. Di pihak
perempuan mahupun di pihak lelaki.” Buntang mata ummi. Tak pernah di buat
orang!
“Jangan mengada-ngada, Farhana!
Perasaan pihak lelaki kita kena fikirkan jugak! Kalau belah perempuan aje,
bolehlah jugak kalau tak nak buat!” Sudah aku jangka apa yang bakal ummi
tuturkan. Aku kenal ummi aku! Jika hitam katanya, maka hitam lah ia! Tidak akan
berubah walau sedikit pun. Tapi kali ini, aku tetap akan berusaha memujuk ummi.
Biarlah keputusannya berganjak walaupun sekadar menjadi kelabu.
“Ummi, Ana setuju untuk nikah
kerana Ana sayangkan ummi lebih dari nyawa Ana sendiri. Ummi pentingkan
perasaan pihak lelaki, tapi pernah tak ummi fikirkan tentang perasaan Ana? Anak
ummi sendiri! Ana hanya minta itu aje ummi. Ana tak mintak lebih!” Aku lihat ummi
seakan-akan terkedu seketika. Ummi diam! Mungkin sedang memikirkan permintaan
aku.
“Baik! Ummi terima syarat Ana!”
****************************************
Aku duduk bersendirian di buaian
yang terletak di bawah rumah. Cuba untuk menenangkan perasaan aku yang
bercelaru. Seminggu sahaja lagi untuk aku bergelar isteri orang. Zaman anak
dara bakal aku tinggalkan dalam masa seminggu sahaja lagi. Esok, aku bakal
bergelar tunangan orang. Tunang kepada lelaki yang aku tidak ketahui namanya..
juga dirinya.
“Buat apa sorang-sorang dekat
bawah ni?” Aku tersenyum. Wajah mak ku tatap lama. Jika hendak di bandingkan dengan
ummi, aku lebih rapat dengan mak, ibu saudara aku yang juga merangkap kakak
kepada ummi.
“Tak ada buat apa mak. Kenapa mak
tak tidur lagi? Dah lewat malam dah ni.” Aku melabuhkan kepala ke riba mak.
Perlahan-lahan terasa usapan di kepalaku. Aku suka! Terasa seakan di manjai.
“Patutnya, mak yang tanya Ana
soalan tu. Esok kan nak bertunang, kenapa Ana tak tidur lagi? Tak pasal-pasal
nanti mata tu jadi mata panda. Malu lah bakal mak mertua Ana tengok nanti.” Aku
tersenyum nipis. Usikan mak sedikit sebanyak membuatkan aku lupa dengan apa
yang mengganggu fikiranku.
“Mak kenal ke dengan bakal mak
mertua Ana tu?”
“Hurm. Kenal gitu-gitu aje, Ana.
Tapi mak yakin keluarga mereka orang baik-baik. Ummi Ana tahu apa yang terbaik
untuk Ana. Lagipun, mak tengok bakal suami Ana pun baik budi bahasanya. Elok
aje pekerti dia. Mak yakin Ana akan bahagia dengan dia.” Aku termenung
seketika. Bagaimana mak boleh bersuara seyakin itu sedangkan aku yang akan
menikah dengan lelaki itu? Bagaimana mak mampu berkata yang aku akan bahagia
hidup bersama lelaki itu sedangkan aku sendiri tidak seyakin itu?
“Mak faham apa yang Ana fikirkan.
Dan mak juga tahu apa yang sedang Ana risaukan sekarang. Ana, yakinlah bahawa
setiap kejadian itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Jodoh Ana telah di tetapkan
sejak Ana masih belum lahir lagi. Mak yakin yang Ana akan bahagia dengan dia.”
Mak menepuk bahuku lembut. Mungkin cuba menyalurkan kekuatan dan keyakinan
kepadaku.
“Macam mana, mak?”
“Ana kena yakin. Niatkan dalam
hati! Sekali Ana jadi isteri dia, selamanya Ana isteri dia. Jika Ana ingin
kecapi bahagia bersama dia, maka Ana kena bahagiakan dia. Kita sebagai manusia
ni tak lari dari kesilapan dan kekurangan, jadi kita kena bersikap give and
take. Jangan hanya menerima kerana lambat laun pasangan akan bosan kerana hanya
dia yang memberi. Kalau jadi macam tu, hubungan akan kaku.” Aku mengeluh. Aku
bukan lah seorang yang sabar. Dan aku tak tahu samada aku mampu hadapi semua
itu nanti.
“Mak, kalau Ana terluka gara-gara
pernikahan ni macam mana?” Aku lihat mak menggelengkan kepalanya.
“Kenapa suka fikir yang negatif
aje? Cuba fikir kalau Ana bahagia, dapat anak sorang setahun. Hah! Kan bagus
macam tu.” Aku tergelak. Sorang setahun? Mati lah aku!
“Dah lah. Pergi naik atas! Tak
pasal-pasal jadi mata panda. Lepas tu bakal mak mertua Ana salah sarung cincin
pulak. Sarung dekat tangan mak, baru niaya!” Bergabung ketawa aku dan mak. Ya!
Aku kena niat yang baik-baik aje untuk hidup aku.
*******************************
Berdegup kencang jantung aku saat
tombol pintu di pusing. Aku lihat ummi melangkah masuk ke dalam bilik aku di
ikuti beberapa orang wanita. Pinggang ku di cuit perlahan. Aku mengerling ke arah mak. Mak memberikan
isyarat supaya aku senyum. Payah betul!
“Assalamualaikum.” Satu suara
memberi salam. Aku telan liur sebelum menjawab salam itu.
“Cantiknya bakal menantu ibu.”
Owh! Ini lah dia bakal mak mertua aku!
Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan bakal mak mertua aku. Mujurlah
aku ingat lagi pesanan ummi agar bersalaman dengan bakal mak mertua aku sebelum
rombongan meminang datang tadi. Pipi kiri dan kanan aku dikucup mesra.
“Ana, hulurkan jari tu. Ibu nak
sarungkan cincin.” Mak mengarah. Aku hanya mampu menurut. Sebaik sahaja cincin
belah rotan tersarung di jari manis ku, sekali lagi aku menyalami tangan bakal
mak mertua aku.
“Tahniah, Ana. Ibu harap Ana
dapat terima abang seadanya. Ibu yakin Ana akan bahagia hidup dengan abang.”
Aku sekadar tersenyum. Abang?Abang aje?
Nama betul apa? Aku nak tanya ibu, tapi segan. Apa pulak kata dia bila
bakal menantu dia ni tak tahu siapa gerangan bakal suami sendiri.
“InsyaAllah, ibu. Saya.. err..
Ana mohon ibu dan ummi doakan yang terbaik untuk Ana dan.. err.. abang!”
Tergagap-gagap aku bersuara. Malu untuk membahasakan dia sebagai ibu dan
tunangku sebagai abang.
“Ibu sentiasa doakan Ana dan
abang bahagia, sayang.” Ibu mengucup pipi aku lembut. Aku tersenyum senang.
Jika ini lah bakal mertuaku, aku amat bersyukur. Aku mengerling ke arah ummi.
Dapat ku lihat air mata yang menuruni pipinya.
Aku tahu ummi bahagia. Bahagia kerana aku sanggup menunaikan hasrat
hatinya. Dan aku hanya akan bahagia saat ummi ku bahagia.
“Ummi..” Perlahan aku
memanggilnya. Ummi menghampiri aku.
“Ummi, jangan nangis. Air mata ummi
hanya akan buatkan Ana terluka. Ana sayangkan ummi dan Ana akan tetap selamanya
menyayangi ummi.” Tubuh ummi aku peluk seeratnya. Aku tahan sebak. Inilah kali
pertama aku memeluk ummi erat sejak aku dewasa. Selama ini bukan aku tidak
mahu, namun hubungan kami yang tidak akrab membuatkan aku ragu-ragu untuk
memeluknya biarpun dia adalah ummi kandungku.
“Ummi doakan Ana bahagia dengan
abang. Selamanya! Maafkan ummi kalau ummi terlalu memaksa Ana selama ni.”
Perlahan suara ummi di telingaku. Aku terlalu menyayangi ummi. Hingga aku
sanggup mati demi ummi. Aku sanggup mati demi melihat ummi bahagia!
**************************************
Termenung!
Itu lah hobi baru ku sejak
bertunang. Terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran ku. Persiapan
perkahwinan semuanya di siapkan oleh ummi dan mak. Aku? Hanya mampu memandang
dan akhirnya mengelamun.
Perkahwinan! Ini lah perkara yang
paling aku takuti selain mati! Entah bagaimanalah nasibku usai aku memegang
title sebagai isteri orang? Mampukah aku
menjadi isteri yang taat akan suami? Apakah aku mampu melaksanakan tugas
seorang isteri dengan sebaik-baiknya? Aku takut! Sangat takut!
“Bakal pengantin ni! Termenung
aje! Ingat apa?” Sepupuku menegur. Aku tersenyum kepadanya. Dia melabuhkan
duduk di sebelahku.
“Duk fikir pasal malam pertama
ke?” Terangkat keningku dengan soalan hentam kromonya. Dia tersenyum kepadaku.
Dan aku dapat rasakan aura negatif dari senyumannya yang terpamer di wajahnya
itu.
“Kakak, please jangan senyum
macam tu! Kakak buat Ana takut!” Tergelak besar dia usai aku menghabiskan
bicaraku itu. Kali ini aku yakin! Dia memang sedang memikirkan sesuatu! Sesuatu
yang sangat menakutkan aku!
“Ana nak tips ke? Kalau nak,
kakak boleh bagi!” Dia tersengih miang! Miang sekali! Aku telan liur. Dapat aku
rasakan habis segala bulu roma ku meremang. Petandakah ini? Jika sebelum ini,
aku menjadi tukang gelak kepada sepupu-sepupu ku yang bakal menamatkan zaman
anak dara kerana terpaksa menahan malu akibat tips yang di kongsi Azie, kini
tiba giliran aku pula untuk di gelakkan. Terasa menyesal pula!
“Kakak.. Please, Ana tak ready
lagi nak dengar semua tu!” Aku tersenyum sambil merayu. Dia menggoyangkan jari
telunjuknya tanda tidak akan mendengarkan segala rayuan ku. Aku mengeluh! Aku
yakin, segala ilmu yang dia ada bakal di perturunkan kepadaku secara paksa
rela.
“No way! Setiap isteri mesti tahu
semua ni!” Aku menutup telingaku dengan kedua-dua belah tapak tanganku. Serius!
Aku tak nak dengar semua itu! Tidak!!!
“Kakak, please! Ana betul-betul
tak ready!”
“Listen here, Ana! Ana kena jugak
dengar apa yang kakak nak perkatakan ni.” Aku menggelengkan kepala. Aku tetap
tak nak dengar! Aku malu! Aku segan! Dan aku yakin akan terseksa jiwa raga jika
mendengarnya.
“Kakak, Ana tak nak! Tolong lah
faham! Jangan paksa-paksa Ana lagi! Ana dah cukup menderita! Dah terlalu banyak
kali Ana di paksa. Setiap yang Ana lakukan semuanya terpaksa! Ana tak nak
kahwin, tapi ummi paksa Ana kahwin! Adakah Ana hidup di muka bumi ini hanya
sekadar untuk menjadi mangsa semua orang?” Aku menyoal agak kasar! Dadaku mula
sebak! Aku tak mampu menahan semuanya bersendirian. Aku lihat dia tergamam
dengan kata-kataku.
“Cukuplah selama ni Ana hanya
menurut. Ana dah penat jadi lembu yang di cucuk hidungnya! Ana ingat, lepas Ana
turuti permintaan ummi untuk meninggalkan orang yang Ana cintai selama ini, Ana
tak akan di paksa lagi. Tapi,.. semua tu tetap tak memberikan kesedaran buat
semua orang. Ana terus-terusan di paksa. Malah, Ana di paksa berkahwin dan
terpaksa melupakan segala impian Ana. Sudah lah kak! Ana penat dengan semua
ini.” Perlahan-lahan aku bangun.
Saat itu aku terlihat sepasang mata yang
memerhatikan aku. Jarak antara aku dan dia tidaklah dekat. Namun aku yakin, dia
mendengar segala apa yang aku perkatakan kepada sepupuku. Aku cuba amati wajahnya,
namun aku gagal. Gagal untuk mengecam sepasang mata itu milik siapa. Dia aku
lihat berlalu ke arah sebuah motosikal. Sepasang mata miliknya kembali menatap
aku untuk seketika sebelum dia berlalu pergi. Aku terkelu! Mata itu seakan
memberi aku sebuah rasa yang sukar untuk aku mengerti.
****************************************
Dua hari lagi!
Aku terus mengira detik demi
detik yang aku tempuhi sebagai tunangan orang. Laju benar masa ini berlalu.
Pejam celik, pejam celik, malam esok sudah majlis berinai. Pada mulanya aku
enggan. Namun saat mata ku bertemu dengan maa ummi yang sayu, hati ini
merelakan. Ya! Sungguh aku sayang padanya.
“Ana!” Aku sedikit tersentak.
Wajah mak ku pandang seketika. Sebelum menyoal.
“Ada apa, mak?”
“Abang nak jumpa. Dia tunggu
dekat bawah.” Aku kelu. Jantungku mula memainkan sebuah irama yang cukup
rancak. Berdegup kencang dan cukup mendebarkan. Perlahan-lahan aku melangkah ke
pintu. Dan di situ aku melihatnya. Duduk di atas motor sambil merenung ke arah
ku.
Mata itu!
Aku yakin! Sepasang mata itulah
yang menjadi tatapan terakhirku sebelum aku menutup mata semalam. Mata itu juga
yang hadir dalam mimpiku semalam. Mata yang memberi aku satu rasa yang aku
sendiri gagal menekanya. Itulah sepasang mata milik tunangku. Perlahan-lahan
aku menuruni tangga kayu usang rumah nenek. Menghampirinya yang setia merenung
ke arah ku.
“Assalamualaikum.” Dia memulakan
perbicaraan kami dengan memberi salam. Perlahan aku menjawab salam yang di
hulurkan. Suaranya membuat aku terpegun. Lirikan matanya makin mendebarkan
jantungku.
“Maaf kalau saya curi masa awak
seketika. Ada perkara yang ingin saya bicarakan.” Diam sejenak. Aku menarik
nafas panjang. Mencari kekuatan untuk menatap wajahnya. Perlahan wajah ku
angkat. Matanya menikam tajam ke mataku.
“Apa? Apa yang awak nak
cakapkan?”
“Pertama sekali, maaf kalau awak
terpaksa menerima pernikahan kita ni kerana ummi dan ibu. Saya.. Hurm.. Terima
kasih.” Aku tersenyum. Tapi aku tahu, senyuman yang terlukis di wajahku cukup
sinis.
“Kalau tu aje yang awak nak
cakapkan, lebih baik awak tak payah datang.” Sedikit kasar suara ku. Dia! Aku
lihat tetap tenang menghadapi aku. Aku berpaling dan ingin melangkah pergi.
Namun suaranya menahan pergerakan kaki ku.
“Abang dengar apa yang awak katakan
semalam. Dan abang nak tahu, adakah pernikahan yang bakal berlangsung antara
kita dah menutup segala impian awak? Dan.. awak ada pilihan sendiri?” Dia
bahasakan diri dia abang. Lembut suara dia di telingaku.
“Saya terima pernikahan ni dengan
ikhlas. Tapi saya perlukan masa... untuk terima semua ni. Saya tak kenal awak,
dan awak juga tak kenal saya. Kita masing-masing saling tidak mengenali hati
budi sesama sendiri. Saya perlukan masa untuk mengenali siapa bakal suami saya.
Dan saya rasa, awak pun perlukan masa untuk mengenali siapa saya.” Aku bersuara
yakin. Dia aku lihat seakan-akan memikirkan apa yang aku perkatakan.
“Awak nak perkahwinan kita di
tangguhkan? Itu maksud awak?” Dia menyoal aku. Nada suaranya tetap tenang. Tapi
aku yang tersentak dengan soalan yang di tujunya kepada ku. Tak pernah
sekalipun aku terfikir untuk menangguhkan perkahwinan kami ini.
“Tak! Bukan itu maksud saya.”
“Habis tu?”
“Alam perkahwinan akan lebih
memudahkan saya untuk mengenali siapa awak sebenarnya. Cuma..” Aku serba salah
untuk berterus-terang. Terlalu sensitif bagiku.
“Cuma apa?”
“Saya minta masa untuk menjadi
isteri awak dalam erti kata yang sebenar.” Berbahang pipi aku! Aku yakin, pasti
wajahku kini memerah. Aku lihat dia hanya tersenyum. Mungkin dia baru memahami
maksud sebenarku meminta waktu.
“Abang faham. Abang faham dengan
apa yang cuba awak sampaikan. Dan abang setuju.” Manis senyuman yang di
lemparkan kepadaku. Terkedu aku seketika. Senyuman itu cukup mempersonakan.
Hampir sahaja aku hanyut dalam lautan angan yang aku ciptakan sendiri.
“Err.. Terima kasih.”
“Sama-sama kasih. Awak masuk lah.
Abang balik dulu. Jangan tidur lewat, menangis. Nanti tok kadi kata abang nikah
dengan panda pulak.” Dia mengusik aku. Aku tersenyum nipis. Kalau beginilah
sikap dan sifat bakal suamiku, aku mula yakin dengan apa yang mak cakapkan
sebelum majlis pertunanganku hari tu.
“Hati-hati bawak motor.” Usai aku
mengucapkan kata-kata itu, laju kaki ku melangkah ke tangga rumah. Dan aku
sedar, senyumanku mekar di bibir. Tiba-tiba sahaja aku berasa yakin. Amat
yakin! Aku akan bahagia. Hilang segala ragu-ragu yang timbul di benak ku selama
ini. Ajaib sungguh!
***************************************
Dengan dua kali lafaz, aku sah
menjadi miliknya. Aku kini sudah bergelar puan dan bukan lagi cik. Syurga ku
kini telah pun berubah. Bukan lagi terletak di tapak kaki ummi, tapi terletak
pada suamiku. Namun, aku tetap sayangkan ummi lebih dari aku menyayangi diri
aku sendiri. Aku memejamkan mata buat seketika. Terasa hangat pipiku saat
empangan air mataku pecah. Baru sahaja aku mengangkat tangan untuk mengelapnya,
terasa ada tangan lain yang mengelap pipiku.
“Stop crying! Habis make up cair
nanti.” Perlahan nada suaranya. Aku tersipu malu. Dia menghulurkan tangannya
untuk aku salami. Syahdu perasaan aku saat itu, namun hati aku seakan-akan
ingin mengenakan dia.
“Kenapa sampai dua kali?”
Perlahan nada suara aku. Aku lihat dia tersentak. Namun seketika cuma. Dia
tersenyum manis kepadaku. Perlahan dia mendekatkan mukanya ke muka ku. Sebuah
ciuman hinggap di pipiku. Merona merah wajahku dengan tingkahnya yang agak
lepas laku.
“Amboi!! Abang ni! Tak menyempat
betul! Ingat sikit tetamu yang pandang ni!” Ibu berkata separuh mengusik. Aku
pejam mata menahan malu. Memang nak kena suami aku ni!! Erk!!
“Ibu, abang saja nak usik isteri
abang ni. Tengok menantu ibu ni. Merah dah muka dia.” Hampir aje aku geleng
kepala dengan usikan suami ku itu. Nakalnya dia!!
“Abang! Dah lah tu. Kesian
menantu ibu!” Aku senyum mengejek. Mujurlah mak mertuaku ini memihak kepadaku.
Kalau tidak, memang malu besar aku hari ini.
“Okey, ibu.” Cup! Terbeliak mata
aku apabila sekali lagi pipiku menjadi mangsa ciumannya. Ketawa besar
tetamu-tetamu yang hadir ke majlisku hari itu. Perlahan aku cubit perutnya.
Berkerut wajah suami ku menahan pedih! Ala! Tak pedih mana pun. Cubit-cubit
manja gitu!
“Haih! Abang ni kan!” Aku lihat
ibu menarik telinga suamiku. Sekali lagi riuh ruang tamu rumah nenekku dengan
hilaian tawa tetamu. Upacara membatalkan air sembahyang yang sepatutnya syahdu
menjadi medan tawa para tetamu. Apa nak buat? Pengantin lelakinya overdose
nakal!
**************************************
“Ready?” Suamiku bertanya. Aku
menarik nafas panjang sebelum mengangguk berserta sebuah senyuman manis
terpamer di wajahku. Abang menarik tanganku lalu di genggamnya. Mungkin untuk
menyalurkan kekuatan kepada diri aku.
“Assalamualaikum.” Abang memberi
salam.
“Waalaikummussalam. Dah sampai
pun pengantin baru!” Seorang wanita menyambut kami berdua. Aku agak, ni mungkin
kakak kepada suamiku. Entah lah! Aku pun tak pasti. Tak sampai seminit aku
melangkah masuk ke dalam rumah itu, dah berkerumun sanak saudara abang di sekeliling aku. Terkejut! Aku lihat
abang duduk di tangga. Tersenyum memandangku.
“Ana! Ni kak long. Anak sulung
ibu.” Ibu memperkenalkan satu persatu. Betul telahanku sebentar tadi. Wanita
yang menyambut kedatangan aku tadi adalah kakak abang. Aku tersenyum mesra.
Tapi, baru aku sedar! Dalam ramai-ramai wanita dan gadis yang duduk
mengelilingi aku, hanya seorang aje yang menempel dekat laki aku. Rasa lain macam
pulak aku tengok telatah gadis tu.
Cemburu?! Entah lah! Aku
melarikan anak mata saat abang memandang wajah aku. Baik aku layan ipar duai
aku ni! Tengok dia pun menyakitkan mata aje!
“Ana, kalau nak tahu abang tu
sebenarnya manja tau! Pantang dekat dengan ibu, mula lah merengek mintak tidur
atas riba.” Kak Long buka cerita. Aku tersenyum. Lucu! Tak sangka betul aku,
suamiku yang nampak macho itu sebenarnya manja orangnya.
“Ala! Sekarang ni abang dah
kahwin, tak adanya nak tidur atas riba ibu lagi. Comfirmlah tidur atas riba Ana
pulak!” Kak Ngah pula mengusik. Aku tersipu. Baru aku perasan! Walaupun suamiku
bukan anak sulung, tapi Kak Long dan Kak Ngah tetap memanggilnya abang. Mungkin
sebab dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga itu.
“Abang, dah kahwin ni jangan
pulak manja lebih dengan ibu. Cemburu pulak Ana ni nanti. Tak pasal-pasal
keluar surat khabar. Siap muka depan lagi! BINI LARI RUMAH CEMBURU KEMESRAAN
SUAMI DAN IBU MERTUA!” tergelak besar semua nya. Aku pulak hanya mampu
tersenyum. Kelakar pulak bila dengar tajuk yang kak long ucapkan sebentar tadi.
“Ehem!” Deheman itu membuatkan
aku berpaling. Aku lihat abang bangun
lalu menghampiriku. Perlahan tanganku di tariknya. Aku berdiri mengikut
langkahnya. Mata-mata ipar duaiku mula berubah. Nakal! Nakal sekali!
********************************
“So, this is our room!”
Abang berbisik lembut di telingaku.
Tangannya pula mula membelit pinggangku. Aku telan liur. Aku rasa lain macam
sangat. Degupan jantung aku semakin kencang. Abang memeluk erat aku dari
belakang.
“Err.. Awak..” tergagap-gagap aku
cuba bersuara. Aku tak selesa dengan keadaan yang begini. Tangannya yang sedang
memeluk pinggangku cuba aku rungkaikan. Aku dengar abang mengeluh sebelum
pelukannya dirungkaikan.
“Sorry.” Aku dah serba salah.
Segala yang abang buat pada aku tak salah, tapi abang masih lagi minta maaf.
Sedangkan aku yang seharusnya minta maaf pada abang sebab menolak apa yang dia
lakukan pada aku.
“Awak tak salah. Saya minta maaf.
It’s my fault.” Aku lihat abang tersenyum. Tak ada perasaan kah suami ku ini?
Atau dia memang jenis yang penyabar? Penolakan aku di terimanya. Kalau orang
lain, mungkin aku sudah bergelar janda. Mana tidaknya, kahwin tapi tak boleh
buat apa-apa! Buat rugi aje!
“Tak apa. Take your time, sayang.
Abang sanggup tunggu berapa lama lagi pun. Tapi kalau lama sangat, abang bagi
la sayang madu secawan dua. Boleh?” Laju aje aku cubit perutnya. Isu ‘madu’ ni
terlalu sensitif bagi wanita termasuklah aku. Abang hanya ketawa sambil
tangannya kembali merangkul pinggangku.
“Walaupun sayang tak kenal abang,
tapi dalam hati tu dah mula sayangkan abang kan?” aku tersenyum. Memang aku
mula menyayangi abang. Dia suami aku, dan wajib aku menyanyangi dirinya.
“Mana awak tahu yang saya dah
mula sayangkan awak atau tak?” Aku menyoalnya. Sengaja hendak menduga abang.
Pelukannya di pinggangku makin erat. Dagunya pula di letakkan di atas bahu ku.
Aku mengusap lembut tangan abang.
“Kalau sayang tak sayangkan abang, sayang
mesti tak kisah abang nak tambah cawangan. Tapi, sayang siap bagi abang sepit
ketam lagi. Tu tandanya yang sayang dah mula sayangkan abang. Betul tak?” Pipi
aku diciumnya lembut. Merona wajah aku. Malu!!
“Erm. Nanti saya fikir kejap ek.”
Sebaik sahaja aku berkata begitu, laju tangan abang yang memeluk pinggangku
erat terlerai dan abang mula menggeletek aku. Meronta-ronta aku menahan geli.
Bergabung tawa aku dan abang.
“Oh! Tak nak mengaku ye. Tak apa!
Kita tunggu sekejap lagi.”
“Tunggu sekejap lagi? Saya tak
faham.” Berkerut dahi aku dengan kata-kata abang. Abang tersenyum lebar sebelum
mendekatkan bibirnya ke telingaku.
“Dengan nama Allah...” Laju aku
menolak badan abang. Terkejut!! Abang pula aku lihat sudah tertunduk-tunduk
memegang perut gara-gara ketawa. Sungguh lah suami aku ini seorang yang sengal.
“Takut ye sayang?” Abang menyoal aku
dengan tawa yang masih bersisa. Aku tahan geram. Tiba-tiba idea itu hadir dalam
fikiran aku. Aku tersenyum menggoda dan berjalan menghampiri abang.
Aku lihat abang angkat kening
ala-ala penyanyi terkenal kegemaran aku. Siapa lagi kalau bukan Ziana Zain. Dada
abang aku usap perlahan. Aku perasan abang mula telan liur. Makin rancak aku
membelai dadanya. Saat tangan abang
ingin memeluk pinggang aku, aku lari. Padan muka abang. Memang sengaja aku
bakar perasaan abang. Tergelak-gelak aku keluar dari biliknya.
“Sayanggggg!!!”
******************************************
Sesi jeling-menjeling bermula!
Aku pandang abang dan abang pula pandang aku. Sewaktu di meja makan, haru biru
sungguh. Sengaja abang duduk berhadapan dengan ku. Jenuh juga aku untuk
menjawab segala soalan yang di aju oleh ahli keluarga abang. Abang pula aku
lihat hanya tersenyum. Langsung tak membantu aku menjawab soalan-soalan dari
ahli keluarganya. Asyik dengan gadis yang tidak segan-silu menempel di
sebelahnya.
“Ana..” Ibu tegur aku lembut.
Pasti ibu sedar renungan aku pada abang. Aku ukir senyuman nipis yang ketara
jelas tawarnya. Lengan aku ibu tarik perlahan. Tanda untuk aku menuruti
langkahnya. Aku melabuhkan duduk di sisi ibu.
“Ana, cemburu ek?” Terkejut
seketika aku dengan soalan ibu.
“Ibu, Ana perasan..tak. Err..
Maksud Ana, siapa perempuan yang selalu dengan abang tu?” Ibu tersenyum
mendengarkan soalanku. Pelik sangat ke? Ke ketara sangat aku tengah cemburu?
Perlahan ibu mengusap lembut rambutku. Terasa kasih sayang seorang ibu tercurah
buatku walaupun dia hanya ibu mertuaku.
“Sayang, tu Acu, anak bongsu ibu.
Acu memang rapat dengan abang. Sebab abang tu terlalu sayangkan Acu. Ana tak
payah jeles lah dengan keakraban abang dengan Acu.Ibu tahu abang sayang Ana.”
Ibu peluk erat bahuku. Lega rasanya apabila mendapat tahu gerangan gadis yang
menyendeng di sisi suami aku.
“Terima kasih, ibu. Ana tak nak
berlaku salah faham antara Ana dengan abang.” Kepala aku lentokkan ke bahu ibu.
Sejujurnya, aku selesa dengan ibu. Sifat keibuannya benar-benar terserlah dari
lenggok bicaranya, serta sikap melindunginya.
“Ehemm!! Amboi!! Dengan ibu manja, dengan abang bila lagi?”
Tersentak aku dengan suara yang tiba-tiba sahaja menegur. Terangkat keningku
dengan bicara abang. Perlahan abang melangkah menghampiri aku dan ibu. Tanpa
disuruh, abang melabuhkan duduk disisi ibunya.
“Hurm.. Ibu ada request. Boleh
Ana dengan abang tunaikan untuk ibu?”
“InsyaAllah, ibu.” Serentak aku
dan abang menjawab.
“Ibu nak..” berkerut dahi aku
melihat ibu merenungku lembut. Mata ibu ku lihat penuh dengan pengharapan.
Haih!! Kalau ibu mintak yang pelik-pelik, mahu tercabut jantung, hati, limpa
dan buah pinggang aku.
“Ibu nak cucu dari abang dan Ana.” Buntang terus mata
aku. Liur mula terasa kesat. Abang ku lihat tersenyum lebar.
“InsyaAllah, ibu. Anak ibu ni kan
kuat. Ibu nak berapa? Abang tak nak banyak. Cukup satu team bola sepak dah
cukup lah.” Makin besar mata aku dengan kata-kata abang. Ingat aku ni kilang
buat anak ke??????
“Ehem. Ibu, insyaAllah. Kalau ada
rezeki, jangankan satu team bola sepak..satu Stadium Bukit Jalil tu Ana sanggup
bagi.” Ehh!! Bagi ke buat?? Erkk!! Aku lihat mata abang bersinar cerah. Aku
faham maksud sinaran matanya itu! Geramnya aku!!
**************************************
Arghh!! Penatnya! Sehari suntuk
melayan ahli keluarga abang dan saudara mara yang berkunjung meraikan kami
sebagai pengantin baru. Aku melabuhkan duduk di atas katil di dalam bilik
abang. Perlahan aku merenung segenap ruang di dalam kamar itu.
“Sayang abang ni, menungkan apa?”
Terkejut aku dengan kahadiran abang yang secara tiba-tiba. Terasa pinggangku di
peluk erat.
“Err.. Tak ada apa-apa. Penat
sikit je.”
“Hurm. Tadi kata nak bagi ibu
cucu sampai full Stadium Bukit Jalil. Nampak gayanya, kena mula dari malam ni
lah. Kena usaha dapat twins ni.” Membahang pipi aku dengan usikan abang. Usikan
ke?? Aku rasa macam abang serius!! Warghh!!
“Err.. Abang, Ana...” Cupp!!
****TAMAT****